Suraya dan Haiza, pembantu keluarga Kamil yang berkawan baik dan masih sunti baru pulang dari perigi, membawa masing-masing dua timba yang berisi sarat dengan air. Sebelum itu, mereka berdua bertembung dengan Kasuma dan Rubiah di tengah jalan. Mereka bertegur sapaa dengan mesra dan menurut Kasuma dan Rubiah, mereka berdua mahu menjuju ke kebun Keluarga Kamil, memtik sayur-sayuran segar untuk masakan pada malam itu.
Setelah berpisah dengan Rubiah dan Kasuma dalam jarak yang agak jauh, Suraya tiba-tiba saja berbisik di telinga Haiza.
"Apa sebenarnya pertalian Kasuma dan Rubiah??"
Haiza yang kurang faham maksud pertanyaan kawan karibnya bertanya kembali.
"Maksud kau, Suraya?"
Suraya meletak timba yang sarat dengan air sekali lagi dan mengurut-ngurut sendiri lengannya yang kepenatan. Haiza yang melihat kawannya berbuat demikian turut berbuat perkara yang serupa. Kedua-dua mereka berasa letih.
"Engkau ini, begini maksudku...bukankah Kasuma memanggil Rubiah sebagai emak, setahuku..Kasuma bukanlah anak Rubiah kerana Rubiah, seperti yang kita tahu belum ada ikatan perkahwinan dengan sesiapapun sepanjang hidupnya. Jadi..?"
Haiza mengeluh dengan pertanyaan Suria yang suka menggali hal peribadi seseorang. Dia melihat timba yang dibawanya tadi dan agak terkejut kerana melihat air tidak begitu penuh seperti asalnya, mungkin tumpah semasa dibawa dalam perjalanan berbukit tadi, fikir Haiza. Haiza akhirnya berfikir pula tentang kata-kata Suraya.
"Ya, aku sedar mengenainya.Tapi Kasuma juga memanggil Hasna sebagai nenek, dan memanggil kita berdua sebagai kakak. Adakah itu bermaksud, Kasuma itu betul-betul cucu kepada Hasna, dan Kasuma itu adalah betul-betul adik kandung kita berdua"
Suraya diperbodohkan dengan jawapan Haiza yang jelas tidak gemar dengan sikapnya yang menjaga tepi kain orang itu . Suraya mengeluh dan bertanya lagi, "itu aku tahulah, yang aku nak tanya ... ialah, siapa sebenarnya Kasuma??"Siapa keluarganya??"
Haiza tersenyum kerana tahu Suraya terasa diperli dengan jawapan tadi, kali ini Haiza kelihatan begitu serius pula di dalam pandangan Suraya ketika itu.
"Menurut cerita rakan sekerja, yang sudah lama berkhidmat di sini, Kasuma berada di Kediaman Kamil ini semenjak dia masih seorang bayi lagi. Dia diangkat oleh makcik Rubiah, oleh itu Rubiah adalah ibu angkat kepada Kasuma"
Suraya menganggukkan kepala. dia mengangkat timba yang berat dan menyambung perjalanan mereka ke Kediaman Kamil itu semula. Suraya mendahului Haiza yang berjalan dengan agak lewat di belakang, tiba-tiba pula Suraya teringatkan sesuatu dan mahu mengucapkannya, tetapi dia terpaksa menunggu terlebih dahulu akan Haiza yang masih lagi berada dalam jarak yang agak jauh, kelihatan penat dengan timba-timba yang dibawa. Setelah Haiza kian hampir padanya, Suraya yang jenuh berdiri menanti terus berbicara dan perbuatannya itu mengejutkan Haiza sama sekali.
"Kenapa pula Kasuma selalu tersasul memanggil Tengku Shahrin sebagai ibu pula?"
Haiza berhenti di hadapan Suraya, tetapi tidak pula melepaskan timba yang dibawanya ke tanah.
"Pada mulanya aku berasa meluat juga dengan perbuatan Kasuma itu, kalau sampai sebegitu rapat dengan keluarga Puan takkan sampai memanggil Tengku Shahrin sehingga sebegitu sekali..."
"Ya,..aku setuju"kata Suraya tiba-tiba tanpa sempat Haiza menghabiskan bicaranya.
"Selepas itu,aku telah mendapat tahu, rupa-rupanya Tengku Shahrin sendiri yang mahu Kasuma memanggilnya demikian"kata Haiza sejurus kemudian.
Suraya mencebik bibir seperti menahan satu perasaan kurang senang, dia entah bagaimana berasa sakit hati pula.
"Dia tidak patut berbuat demikian!" kata Suraya seakan membentak.
"Ya, betul...Kasuma tidak harus tersasul mengenainya. Tengku Shahrin mungkin berasa dirinya tidak dihargai"
"Maksudku, Tengku Shahrin yang tidak patut berbuat demikian" sanggah Suraya dan itu agak mengejutkan Haiza sama sekali. Haiza berasa aneh dengan sahabatnya itu, namun dia tidak berminat dengan keanehan Suraya itu dan menyambung perjalanannya semula. Namun mereka berdua masih berjalan seiringan.
"Tengku Shahrin sepertinya mengutamakan Kasuma dari kalangan kita semua" nyata Suraya dalam cemburu.
"Tidak salah..sesiapa pun akan mengasihi Kasuma dengan mudah. Dia baik, berbudi bahasa, comel dan wajahnya sentiasa manis. Bila bercakap dengan sesiapa sahaja, dia akan memulakannya dengan senyuman"
"Shahrin patut mengutamakan semua orang dan bukan membeza-bezakan. Dia patut tahu semua orang penat dan letih bekerja, sama juga seperti Kasuma, kau, aku dan sesiapapun. Oleh itu tidak perlu membeza-bezakan sesiapa juga, jika Kasuma boleh memanggil Tengku Shahrin sebagai ibu, aku dan kau atau sesiapa juga, selain Kasuma, boleh juga berbuat demikian"
Haiza terdiam sementara, seperti terkedu dengan kemarahan Suraya yang ketara menonjolkan kebodohannya.
"Baiklah, seandainya begitu, apa kata kau sendiri yang memanggil Tengku Shahrin sebagai ibu, aku pun ingin tahu apa reaksi Tengku Shahrin nanti" simpul Haiza mudah dan menyindir pada masa yang sama.
Haiza yang semakin bosan dengan angin Suraya meninggalkan sahabatnya dan mereka berdua bertemu semula di dapur Kediaman Kamil hanya tidak berapa lama selepas itu. Di situ, mereka berdua bersama Hasna. Seorang perempuan tua yang sangat dikenali dan dihormati di Kediaman Kamil. Hasna masih terlalu bertenanga untuk usianya yang lanjut.
"Aku minta maaf atas kekasaranku sebentar tadi" kata Suraya tiba-tiba. Haiza sedar, angin Suraya sukar untuk dijangkakan.
"Kau tidak patut berfikiran sebegitu rupa terhadap Kasuma, lain kali"
"Itu aku tahu, ia berlaku kerana aku tidak tahu asal usulnya. Jika aku tahu.., aku akan lebih faham keadaan"
"Baguslah demikian" kata Haiza seraya tersenyum.
Hasna yang tidak berniat untuk mencampuri perbualan, dan mempunyai masalahpoendengaran yang agak teruk, tiba-tiba membuat jangkaan mengenai perbualan mereka berdua.
"Adakah kamu berbicara mengenai Kasuma?"
Sebelum Haiza dan Suraya menjawab pertanyaan Hasna, Hasna terlebih dahulu bersuara untuk mereka.
"Kasuma itu, takdir hidupnya bukan sepatutnya di Kediaman Kamil ini. Dia masih muda untuk melalui ini semua. Tapi Tuhan telah mentakdirkan semua ini berlaku ke atasnya. Bila mengenangkan nasib Kasuma, aku teringatkan bagaimana dia membesar dengan detik yang sukar di Kediaman Kamil ini"
"Bagaimana Kasuma boleh terlantar di Kediaman Kamil ini, Makcik Hasna?" tanya Haiza, kerana selama ini dia pun kurang jelas mengenainya.
"Rupa-rupanya kamu berdua belum diceritakan lagi mengenai separuh daripada kisah silam Kasuma"
Hasna pada waktu itu yang sibuk menghidupkan api di dapur kembali ke tempat duduknya sesudah api mula menyala dan membakar kayu api. Asap berkepul-kepul, ada yang menusuk ke hidungnya menyebabkan Hasna terbatuk-batuk buat beberapa ketika. Asap dari dapur terus berkepul-kepul dan keluar melalui serombong. Setelah meletakkan cereknya ke atas besi pemanas, dia mengelap dahinya yang berkedut dan berkerut, dan tersenyum kepada dua orang gadis yang sudah lama mengharapkan sesuatu daripadanya.
"Tujuh belas tahun dahulu, ketika itu, aku masih begitu ingat dengan jelas yang Shahrin baru sahaja melahirkan anak bongsunya, iaitu Tengku Juita Kamil. Pada suatu malam yang sunyi, Shahrin yang belum lagi melelapkan mata terdengar seorang perempuan menyanyi di selang-seli juga dengan suara bayi yang sedang menangis"
Hasna tiba-tiba terbatuk lagi. Konsentrasi Haiza dan Suraya terhadap penceritaan Hasna turut terganggu. Hasna kemudian membetulkan atur tempat duduknya, menghadap betul-betul akan Haiza dan Suraya sekali lagi dan mula bercerita semula.
"Pada mulanya Shahrin tidak kisah tentang itu. Dia menganggapnya sebagai mainan perasaannya sahaja. Tetapi suara bayi yang menangis dan perempuan yang menyanyi itu begitu semakin jelas di pendengaran"
Hasna tidak pula tergesa-gesa menyambung ceritanya itu. Dia memandang ke jendela, melontarkan pandangannya pada tasik dan kilauan airnya yang menerjah dari permukaan tasik, bersama pantulan cahaya matahari dari kelopak teratai merah dan teratai putih benar-benar meredupkan hatinya, dan bibirnya yang halus dan kering itu sedang mengukir senyum bila mengingatkan peristiwa lampau yang akan diceritakannya sebentar nanti.
"Shahrin berlari ke arah tingkap sejurus itu bagi mendapatkan kepastian untuk meredakan keraguannya, dan pada malam yang samar itu dia dapat melihat seorang perempuan yang berselubung sedang mendodoikan bayinya yang tidak henti-henti menangis"
"Siapa perempuan itu, Makcik Hasna?" tanya Suraya seakan-akan tidak sabar.
Wajah Hasna tiba-tiba berubah sedih. Matanya yang kuyu dan kabur semakin redup kelihatan. Wajah Hasna yang berubah menyebabkan Suraya berasa bersalah, kerana merasakan pertanyaannya tadi mengundang perasaan sedih perempuan tua yang dihormati itu.
"Sayang sekali, keadaan terlalu gelap, hanya diterangi cahaya bulan yang samar-samar dan itu tidak sedikitpun dapat membantu penglihatan Tengku Shahrin. Andai kata Shahrin dapat melihat dengan lebih jelas pada waktu itu, sudah tentu ibu kandung Kasuma senang untuk dikenalpasti dan dipertemukan semula. Shahrin kemudiannya tanpa membuang masa, pantas berlari keluar mahu mendapatkan tetamu tidak diundang yang mungkin memerlukan pertolongan daripadanya, bayi yang sedang menangis itu, mungkin dalam kesakitan atau kelaparan, dan perempuan yang memdodoikan bayi itu, mungkin sekali seorang ibu yang tidak berdaya untuk meredakan bayinya yang asyik menangis-nangis dengan tiada hentinya.
Shahrin masih mendengar tangisan bayi dan perempuan yang menyanyi di hujung tasik ketika dia sedang melangkah ke arah mereka. Malangnya, apabila Shahrin menyeberangi jambatan menuju ke hujung tasik, entah bagaimana, dalam keadaan Shahrin yang tergesa-gesa itu, mungkin kerana terpijak kayu jambatan yang rapuh, atau sesuatu yang telah ditakdirkan oleh Tuhan, Tengku Shahrin jatuh tersembam untuk beberapa ketika, namun sebaik saja Shahrin mendongak kepalanya, menghadap semula ke arah tetamu yang berselubung, dia sangat-sangat terkejut apabila mendapati perempuan misteri itu sudah hilang daripada pandangan matanya"
Haiza dan Suraya saling berpandangan. Agak lama, dan kedua-duanya menghadap Hasna semula.
"dan bayi itu?" tanya Haiza kemudian memecah keheningan buat seketika.
"Shahrin hanya melihat untuk kali pertama bayi itu dan terus terpikat hati kepadanya. Sudah tentu Shahrin berasa gelisah juga, di tengah malam sunyi. seorang diri di tepi tasik, bersama seorang bayi yang ditinggalkan oleh seorang ibu yang tidak berperikemanusiaan"
Hasna menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia berdiri tiba-tiba, tidak menghadap Haiza dan Suraya yang masih lagi memandangnya. Hasna menimbulkan persoalan untuk Haiza dan Suraya sama ada perempuan tua yang dihormati itu telah menamatkan perbualannya begitu saja ataupun tidak.
Apabila Hasna berjalan perlahan-lahan, menuju ke jendela dan membuka bingkai jendela dengan seluas-luasnya dan membiarkan bayu dari tasik bertiup berpusu-pusu menyejukkan hatinya, Hasna tiba-tiba bersuara semula.
"Beberapa hari kemudian, Shahrin membuat keputusan untuk memelihara bayi malang yang comel itu selepas warisnya gagal ditemui. Arwah suaminya, Tengku Kamil, tidak membantah keputusan Tengku Shahrin itu. Malah arwah turut membantu isterinya mencari nama yang sesuai untuk bayi itu. Dan setelah mereka bersepakat, mereka bersetuju menamakan bayi itu sebagai Kasuma, iaitu seorang gadis remaja, yang kamu berdua kenali sekarang ini"
Hasna masih melontarkan pandangannya di luar jendela. Dia membelakangi Haiza dan Suraya pada ketika itu. Oleh itu, Hasna tidak menyedari mereka berdua sedang mendekatinya dan ikut sama-sama melontar pandangan ke luar jendela.
"Tetapi kenapa pula Kasuma dipelihara oleh Makcik Rubiah pula. Adakah berlaku sesuatu yang tidak baik selepas itu?" tanya Suraya tanpa memandang Hasna yang berada di sisinya.
"Tuhan tidak berjanji mentakdirkan sesuatu dengan apa yang kita harapkan, begitu juga dengan Tengku Shahrin. Perbuatan Shahrin mengangkat seorang anak yang tidak tahu asal usulnya mendapat tentangan ibu bapa Shahrin dan keluarga suaminya. Akhirnya, dia dengan rela tetapi berat terpaksa menyerahkan Kasuma kepada Rubiah, seorang pembantu yang paling dipercayainya"
"Oh, begitu"gumam Haiza dan Suraya serentak.
Ketiga-tiga pembantu keluarga Kamil itu masih melontarkan pandangan mereka ke luar jendela. Nun jauh di hujung tasik, bersama alam yang tersingkap indah, adalah seorang gadis yang gigih dan bersemangat sedang membawa sayur-sayur dan kekacang: bendi, kobis, sawi, terung, tomato dan lada dari ladang. Gadis itu adalah seorang bayi yang malang,dipinggirkan, disayangi,menimbulkan pertelingkahan dan disayangi semula pada suatu ketika dahulu.
Gadis itu, tidak lain dan tidak bukan, adalah Kasuma binti Abdullah.
Ikuti siri akan datang: Keluarga Tengku Baharom dan Sawati
No comments:
Post a Comment