Seperkara lagi mengenai kegemaran Juita selain bangun lewat ialah dia tidak tahu duduk diam dan sekiranya dia dilihat tidak berbuat begitu, itu adalah kerana sesuatu yang buruk telah berlaku ke atasnya.
"Engkau terlalu memanjakannya Shahrin"kata Norena pada suatu hari.
Shahrin tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Shahrin mengandaikan Juita mungkin dididik dengan cara yang salah, membesarkan Juita tanpa kehadiran ayah, dan setiap permintaan Juita, si bongsu dipenuhi oleh Shahrin tanpa memikirkan apa-apa pertimbangan, kerana pada Shahrin, kasih sayangnya kepada Juita selama ini tidak memerlukan pertimbangan.
"Ya, itu memang kesilapanku....." hanya itu kata-kata yang mampu diucapkan Shahrin. Norena tersenyum sinis. Dan pada hari itu juga. Norena membangkitkan lagi perihal Juita yang tidak berkesudahan.
"Petang kelmarin aku melihat dia bercakap-cakap dengan sekumpulan lembu"
Shahrin berfikir Norena cuma bergurau dengannya. Melihat wajah Norena yang begitu menggerunkan, kata-kata Norena itu akhirnya menimbulkan perasaan takut untuk Shahrin yang mendengar.
"Mungkin dia berasa jemu, pada waktu itu, dan berbual dengan lembu untuk menghilangkan perasaan jemunya itu. Itu biasa dilakukan oleh sesiapa pun yang tinggi daya imaginasinya"terang Shahrin dengan panjang lebar.
Norena menggeleng-gelengkan kepala.
"Kiranya jika ada orang asing yang lalu lalang di situ dan melihat dia bercakap-cakap, bercium dan berpelukan dengan lembu, mereka tentu mengatakan Juita seorang yang sudah tidak siuman"
Shahrin hanya membisu, melihat Shahrin berdiam diri, Norena berkata lanjut, kali ini dengan suara yang rendah namun mengandungi kekhuatiran, "dan sekiranya mereka tahu Juita itu adalah anakmu. Nama baikmu turut tercemar. Juita tidak laku untuk seumur hidupnya. Tiada lelaki yang ingin menjadi teman hidup kepada seorang gadis sunti yang berkawan dengan sekawan lembu"
Tengku Shahrin masih mendiamkan diri. Norena tidak tahu apa yang difikirkan Shahrin tentang apa yang telah dikatakannya sejak tadi. Melihat Shahrin hanya berdiam diri, Norena pun turut berdiam diri. Akhirnya Shahrin pula bersuara tanpa memaksudkan untuk siapa kata-kata itu ditujukan.
"Suatu hari kelak, dia akan berubah juga. Aku yakin, dia akan berubah juga"
Tengku Norena yang mendengar, tersenyum sinis, sangat sinis, sinis sesinis-sinisnya.
Pemuda seiras ayahnya
Tengku Musaini baru menerima panggilan daripada setiausahanya, Shuhada mengenai temujanji yang bakal diadakan dengan perwakilan daripada sebuah kilang dari Jepun yang berminat mengedarkan motosikal keluaran mereka di Bandar Sejahtera.
"Satu peluang baik"kata Ghazali, seorang pembantu Tengku Musaini yang sudah tua dan sangat dipercayai kerana pengalamannya. Ghazali bekerja semenjak ayah Tengku Musaini memegang tampuk Syarikat Kamil Wijaya, iaitu kira-kira dua puluh tahun yang dahulu.
Syarikat Kamil Wijaya berkembang pesat di Bandar Sejahtera. Sangat dikenali oleh penduduk kota kerana memberikan beribu-ribu pekerjaan dan menjadi rebutan di kalangan pelabur untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai lapangan perniagaan. Syarikat Kamil Wijaya menjalankan pelbagai jenis perniagaan, dari tekstil ke pembuatan perabot dan sekarang, Syarikat Kamil Wijaya telah bergerak setapak lagi dalam pemasaran kenderaan asing.
"Kamu banyak membantu Ghaz. Pada mulanya, saya tidak fikir boleh pergi sejauh ini. Dan sekarang saya yakin, Kamil Wijaya boleh pergi lebih jauh lagi"
Kata-kata Tengku Musaini mengingatkan Ghazali ketika Musaini mula-mula mengambil tanggungjawab menggantikan tempat arwah ayahnya, Tengku Kamil Wijaya yang diserang penyakit barah lima tahun yang dahulu. Tengku Musaini yang baru menamatkan pengajian di Kota London sebenarnya masih merasakan dirinya terlalu mentah untuk menjadi pengganti tempat ayahnya dalam Syarikat Kamil Wijaya. Atas arahan bondanya, Tengku Shahrin, Musaini sebagai anak lelaki sulung menerima amanah arwah ayah dan harapan Tengku Shahrin dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.
Mujur juga, kehadiran Ghazali, sahabat baik ayahnya dan seorang yang sangat berpengalaman dalam Syarikat Kamil Wijaya pada masa itu telah membimbingnya menjadi seorang pengurus yang berjaya dan membuahkan hasil.
"Itu kerana kamu mewarisi kebijaksanaan ayah kamu, Tengku Musaini"ujar Ghazali.
Tengku Musaini berasa pilu dengan kata-kata Ghazali.
Ingatan terhadap arwah ayahnya menjelma kembali.
Surat untuk Tengku Shahrin
"Surat untuk Puan! Surat untuk Puan!"
Suara posmen mengalahkan suara penjual aiskrim, bising, memecah kesunyian.
"Kamu pasti memang ada surat untuk kediaman ini?" tanya Rubiah dengan ragu-ragu, tanpa perasaan tertarik dia terus membersihkan halaman kediaman dari sampah daun kering yang gugur ditiup angin sepanjang petang.
Posmen melihat kembali sampul surat dan tersenyum kepada Rubiah.
"Ya, pasti.....surat untuk Tengku Shahrin"
Tengku Shahrin yang berada tidak jauh dari situ dan berjalan-jalan menikmati bunga di taman halaman kediamannya tiba-tiba berasa teruja apabila namanya tiba-tiba disebut oleh sang posmen.
"Apa? Surat untukku? " tanya Shahrin bagai tidak percaya.
Rubiah menerima terlebih dahulu surat yang diberikan posmen dan sebelum dia ingin mendapatkan Tengku Shahrin dan menyerahkan kepadanya, Tengku Shahrin pula yang terlebih dahulu bergegas mendapatkan surat itu daripada pembantunya.
"Aku tidak pernah menerima surat, kenapa tidak menelefon sahaja, bukankah lebih mudah begitu? Ini sesuatu yang amat mengejutkan"beritahunya sepintas lalu. Shahrin dengan perasaan yang tidak sabar membuka sampul surat dan membaca kandungannya-lantas dia terus mengenali siapakah pengirimnya hanya dengan melihat tulisan tangan penulis surat itu.
"Oh, daripada Tengku Sawati rupanya"
Kepada Tengku Shahrin, sahabatku yang jauh di mata, dekat di hati..
Sudah tiga tahun kita tidak bersua, kali terakhir bersua denganmu di majlis perkahwinan anak mu. Semenjak itu, kita mula sibuk dengan dengan urusan keluarga dan hidup masing-masing. Aku begitu merindui kenangan persahabatan dan tidak cukup dengan hanya menatap koleksi gambar-gambar lama, alangkah indahnya jika dapat bersua muka.Aku ingin melawat kediamanmu, dan dengan harapan dapat menjalinkan hubungan yang lebih mesra dan kukuh lagi antara Keluarga Kamil dan Keluarga Baharom.
Aku akan melawat Kediaman Kamil pada hari Isnin, 13 April ini. Tunggu sahaja kedatanganku.
Salam persahabatan dan kerinduan.
Tengku Sawati, Kota Lama.
"Aku akan menunggu kedatanganmu, sahabatku Sawati"
Rubiah yang mendengar di sisi hanya tersenyum.
-Siri akan datang : Gadis-gadis genit di Kediaman Kamil. :)
No comments:
Post a Comment