Dia seperti mawar yang berkembang, mengeliat penuh manja dan tersenyum dengan menawan. Tubuhnya yang kecil masih di atas pembaringan, mengedipkan matanya seperti seorang bayi, bangun dengan sangat malas, menguap dan baring semula, memandang ke siling yang bersilau, menggoyangkan kakinya berkali-kali dan tersenyum lagi.
"Hari ini hari Sabtu"katanya untuk dirinya sendiri. Dia mengira-ngira ingin berehat dan membalas kepenatan yang dilaluinya pada hari-hari yang sudah. Dia tahu rutinnya pada setiap pagi sejak berbelas-belasan tahun lamanya dan sempat membuat satu senarai panjang: menyiapkan sarapan yang enak untuk keluarga Kamil, membawa pakaian kotor yang berat setiap pagi ke perigi atau anak sungai, juga mengelap lantai yang sudah bersih (terpaksa dilakukan jika tidak Rubiah akan menyenaraikan setiap kemalasannya) dan paling rutin adalah melayan karenah Tengku Juita yang masih kebudak-budakan.
Tetapi ini tidak bermakna dia mahu mencuri tulang dan membuat pelbagai alasan yang nampak munasabah di hadapan ibunya nanti. Cuma, ini satu peluang baginya, bermalas-malasan, bersendirian, bermimpi dan tidak perlu risau tentang hal-hal yang menggelisahkan fikiran- cukup bagus dilakukan- sebenarnya walaupun tidak begitu lama.
Di luar kamarnya iaitu dari celah-celah jendela yang tidak tertutup rapat, adalah pemandangan di tasik yang tersergam indah dengan keluasan yang mengkagumkan. Di permukaan tasik yang beriak-riak kelihatannya bayang-bayang awan yang berarak-arak. Terdengar bunyi percikan yang aneh dari tasik yang luas itu. Misterinya ia cumalah percikan daripada anak-anak ikan yang suka bermain dan berusikan, juga kodok nakal yang menjadi penghuni dan peneman semenjak kewujudannya.
Matahari bersua lagi untuk kali yang pertama pada hari Sabtu yang tidak berbeza dengan Sabtu yang sebelumnya, pada saat itu kedengaran satu jeritan yang menakutkan untuk anak-anak ikan dan kodok sehinggakan mereka lari dengan bertebaran.
"Kasuma bangun! Hari dah siang!"
Jeritan yang menakutkan itu bergema di setiap penjuru di tasik, kedengaran seperti suara guruh dan petir untuk anak-anak ikan dan kodok.
"Kasuma bangun! Hari dah siang!" jeritan yang sama kedengaran lagi. Berulang-berulang kerana pantulan gema dari bukit-bukit, juga batu batan yang besar di tepi tasik.
Kasuma mula menggigil, dia baru sahaja merancang mahu bermalas-malasan, bersendirian, bermimpi dan tidak mahu memikirkan hal-hal yang menggelisahkan, sebenarnya untuk lima minit sahaja.
Sayangnya Kasuma tidak dapat mengecapinya barang satu minit pun, dengan sedikit berat dia melangkah perlahan-lahan seperti seekor siput kecil, dan menolak daun jendela, juga dengan cara yang sangat perlahan-lahan.
"Saya, emak...Baiklah, saya datang"
Katanya dalam kemalasan, hampir tidak kedengaran untuk Rubiah, yang kaku berdiri di luar bersama embun-embun jantan yang menitik di daun-daun lalang.
Keluarga Kamil Wijaya
"Hmm...sarapan yang enak. Sarapan hari Isnin dan Sabtu tidak jauh bezanya. Walaupun Sabtu bukan hari istimewa, sarapan yang enak menjadikan permulaan Sabtu turut istimewa"puji Tengku Shahrin. Dia dapat meneka keenakannya hanya dengan menghidu aromanya.
"Bukankah Sabtu yang paling istimewa, hanya pada Sabtu dan Ahad, setiap ahli keluarga kita dapat berkumpul bersama-sama seperti pagi ini" kata Tengku Norena, ipar Shahrin. Suami Norena mula menokok "ya, juga anak-anak kamu tidak punya alasan untuk berenggang dengan bondanya seperti hari-hari yang lain, Shahrin"- Tengku Musaini yang mendengar rasa disindiri. Dia tidak tahu sama ada Tengku Johari memaksudkan dirinya seorang, atau adik beradiknya yang lain. Kemungkinan besar dialah yang dimaksudkan, bisik hati kecilnya.
Tengku Abdullah yang baru saja menelan sepotong kuih seri muka yang panas mula menyedari sesuatu;
"Eh, di mana Juita?" tanya Abdullah menyedari ketiadaan adik bongsunya.
"Juita itu........dia lebih rela tidak bersarapan untuk seumur hidupnya asalkan tidurnya tidak diganggu bonda"jawab Tengku Hani, kakak Juita itu dengan nada jengkel, Tengku Suria, juga kakak nombor dua Juita hanya ketawa berdikit-dikit seperti bersepakat untuk memburuk-burukkan Tengku Juita.
"Hmm..Juita Juita.."keluh Norena, menggeleng-gelengkan kepala dan menekan dahinya setiap kali dilanda masalah remeh seperti ini.
"Juita itu..aku dah patut menjangkakan ketiadaannya" keluh Shahrin pula. Penyakit cepat pening Norena seolah-olah telah menjangkit ke atas dirinya pula.
"Bila lagi anak bongsuku itu akan berubah perangainya" sambungnya lagi. Hani dan Suria hanya tergelak sakan, menganggap luahan ibu mereka itu sebagai satu perkara yang melucukan.
"Kali terakhir ibu berkata demikian ialah lima tahun yang lalu" kata Hani, Suria yang suka memburukkan keadaan mahu menambah melengkapkan kata-kata Hani, "dan sekarang Juita berusia 17 tahun, dan perangainya tentu sekali bertambah buruk untuk lima tahun yang akan datang, saya sangat risau ibu, pada masa depan, Juita bertukar menjadi seorang lelaki, mempunyai jambang, pandai merokok dan berhubungan dengan ramai perempuan jalang"
Hani yang meneguk kopi panas menahan gelak.
Dia tetap mahu berkata yang bukan-bukan tentang adiknya walaupun hampir tercekik sebentar tadi, "apa kamu kata Suria, berasa sangat risau, ayat yang lebih sesuai adalah berasa sangat-sangat kasihan" katanya seraya mengangkat bahu lalu meneguk kopi sekali lagi.
Tengku Fatin kurang menyenangi gurauan adik-adik iparnya itu. Dia amat mengasihani Juita, walaupun sedar Juita berperangai seperti budak lelaki dan sering melakukan perkara-perkara di luar jangkaan keluarganya sendiri.
"Biarkan saya ke biliknya, dia sepatutnya bersarapan bersama kita pagi ini" kata Tengku Fatin meminta izin lalu berdiri tetapi dihalang oleh Kasuma secara tiba-tiba.
"Tidak perlu Tengku Fatin. Biar saya ke biliknya..Tengku Fatin teruskan bersarapan bersama keluarga ya!" kata Kasuma dalam senyumannya yang bersahaja.
No comments:
Post a Comment