Kasuma memang suka menganggu orang yang sedang tidur, tetapi Juita bukanlah salah seorang daripadanya.
"Juita! Buka pintu ni!" garang Kasuma kelihatan dibuat-buat. Dia mengetuk pintu bilik Juita dengan sangat kuat tetapi tidak sedikitpun sahutan daripada Juita, si bongsu yang degil itu.
Kasuma memutar tombol pintu dan mujur pula ia tidak dikunci. Menjenguk ke dalam, dan mendengar dengan jelas akan dengkuran Juita yang menguasai suasana hening bilik tidurnya yang gelap dan menyeramkan.
"Juita. Bangun! Keluargamu memanggil di bawah! Cepat! Bangun!"
Tiada tindak balas langsung daripada Juita. Malah dengkurannya semakin nyaring kedengaran. Kasuma berasa sedikit putus asa dengan sahabat baiknya ini, Dia menggaru-garukan dagu, seperti berfikir, dan lima saat kemudian memetik jari dengan girang dan teruja.
"Siap kau Juita!" kata hatinya kegeraman. Akal jahat muncul di fikiran. Kasuma tidak kisah apa tindakan Juita. Juita yang pemalas ini patut diajar untuk bangun lebih awal dan tidak lupa saat-saat penting untuk bersarapan bersama keluarga!
Kasuma menarik kaki Juita dengan sekuat-kuat hatinya seperti menarik ubi kayu yang mencengkam tanah. Perbezaannya menarik akar ubi kayu tidaklah sesukar menarik kaki seorang gadis kaya yang sangat sukar untuk membuka matanya. Kaki Juita yang ditarik oleh Kasuma dengan sebegitu rupa menyebabkan tubuh Juita yang ngomel itu berkalih dari tempat peraduannya. Anehnya, Juita budak penidur itu masih juga tidak sedar-sedar walaupun Kasuma memperlakukannya sehingga sedemikian rupa. Kasuma menarik kaki Juita sekali lagi, dengan sekuat-kuat hatinya- tubuh Juita yang longlai seperti daun sayur itu akhirnya jatuh terjelepok ke lantai. Akibatnya, kepalanya terhentak dengan kuat ke lantai bersama batang tubuhnya yang gempal.
Namun Kasuma tergamam, Juita seperti tidak merasai apa-apa kesakitan pun dan masih belum membuka matanya !! Gadis yang geram itu tidak akan berhenti setakat itu sahaja. Dia bercekak pinggang lalu membongkok sedikit mengiringi Juita yang masih tidur dengan lenanya.
"Bangun Juita! Bangun !" jerit Kasuma sangat hampit di cuping telinga Juita. Juita hanya membuka separuh kelopak matanya yang sangat berat untuk dipikul, menguap di pipi Kasuma, dan mengeluarkan nafasnya yang sangat busuk dengan hanyir liur, melelapkan matanya semula dan berdengkur lagi dengan mulutnya ternganga sebanyak tiga ratus enam puluh darjah.
Kasuma berdiri dan bercekak pinggang, menggarukan dagunya seperti kematian akal, lima saat kemudian, dia memetik jari dengan girang dan berasa teruja semula seperti tadi. Akal jahat tergambar di fikiran. Dia berlalu mengambil labu sayung di salah satu almari yang dipenuhi dengan patung-patung dan buku Juita yang berdebu sudah lama tidak dipedulikan, dan sudah nekad untuk tidak mengalah dengan dengan perangai buruk Juita ini. Adakah Kasuma akan memukul kepala Juita dengan labu sayung yang berat itu? Kasuma sudah tidak tahan lagi, bosan dan tidak sabar dengan karenah Juita ini.
"Nah, rasakan Juita!"
Jahatnya Kasuma. Dia tanpa disangka-sangka menuangkan air dari labu sayung ke dalam mulut Juita yang ternganga tiga ratus enam puluh darjah itu! Juita yang nyenyak tidur tersentak tiba-tiba. Kerongkongnya tercekik kerana dipenuhi oleh air yang entah dari mana muncul dengan tiba-tiba dan masuk mencurah-curah ke dalam mulutnya. Dia hampir lemas, sesak nafas dan terbatuk-batuk seperti orang yang sedang menghidap sakit lantas membuka matanya yang merah dan tidak lagi sepet.
"Tahniah! Kau sudah bangun sekarang!"
Juita terpinga-pinga sakan.
"Apa! Ini...dari mana datangnya air ini"
Juita memandang Kasuma dengan labu sayung berada di tangannya dan telah mendapat tahu sebelum Kasuma mahu memberitahunya dahulu.
"Apa kau sudah gila?" Kau hampir-hampir membunuhku"
Juita sangat marah, dia berdiri dan memeluk tubuhnya di hadapan Kasuma dengan wajah paling garang di dunia ini.
Kasuma hanya tersengih-sengih tanpa ada sedikit pun perasaan bersalah di hati.
"Cepat, Tengku Juita! Pergi mandi segera dan bersarapan bersama ibumu"arahnya sejurus itu.
Juita menjuih bibir, mulutnya bergerak-gerak seperti mengajuk Kasuma.
"Jika kau tidak suka bersarapan sekalipun, sekurang-kurangnya Juita turunlah ke bawah bersama keluarga, dan pura-pura meneguk segelas kopi atau susu, itu pun sudah memadai untukmu sayang" pujuk Kasuma lagi sedangkan dalam hati mahu ditempelengkannya kepala Juita pada waktu itu juga.
Juita jemu dan membelakangi Kasuma secara tiba-tiba seraya memeluk tubuh.
"Aku tidak suka menerima arahan darimu kerana jika aku mengikutinya bermakna aku menurut kata-katamu. Jika aku menurut kata-katamu, itu tentu sekali membuatkan engkau berasa seronok. Gunakan cara lain yang lebih baik agar aku tidak menganggap kata-katamu sebagai satu arahan"
"Itu bukan arahan, anggaplah ia sebagai satu..........." Kasuma tidak tahu perkataan yang lebih baik untuk memenuhi permintaan Tengku Juita itu.
"Peraturan?" teka Juita.
"Bukan juga"
Kasuma mula pening kepala, perkara yang selalu menimpa ke atas Tengku Shahrin dan Tengku Norena apabila berhadapan dengan perangai buruk Tengku Juita telah menjangkit ke atas dirinya pula. Memang Juita ini banyak betul karenahnya. Habis satu, satu lagi yang timbul. Geram betul Kasuma! Kasuma melepas nafas kelegaan dan cuba-cuba bawa bertenang.
"Apa-apa saja, Juita. Yang penting, ia bukan satu arahan. Percayalah, ia bukan satu arahan"
Kasuma berkata seperti meneran dan seperti hendak menangis juga, dia berkata lagi dengan suara yang mendayu-dayu, "pergilah bersarapan, pergilah...pergilah bersarapan.., aku memohon kepadamu"
Juita tergamam dan tersengih tiba-tiba, menonjolkan setiap baris gigi kuningnya di hadapan Kasuma yang meratap kesedihan.
"Baiklah sahabatku"ujarnya seraya mencubit pipi Kasuma yang ranum itu dan menariknya sehingga bertukar merah. Sebaik saja dia mendekati pintu dan mahu meninggalkan sahabatnya, Juita memandang kembali ke arah Kasuma yang masih lagi kepeningan.
"Aku sendiri yang rela hati, aku bukan mengikut arahanmu. Oleh itu, engkau tidak perlu berasa bangga kerana tanpa arahanmu, memang pun aku mahu pergi bersarapan bersama keluargaku. Aku bukan mengikut arahanmu, faham"
"Ya, ya, aku setuju. Kau sendiri yang rela hati. Bukan terima arahanku" balas Juita segera kerana tidak sanggup mendengar celoteh Juita yang boleh memudaratkan kesihatannya. Kasuma ingat ia sudah selesai begitu saja. Tiba-tiba dia tersentak dan baru teringat Juita pergi bersarapan dengan hanya memakai pijama iaitu pakaian tidurnya yang semalaman. Kasuma menjerit "Oh!" seraya memegang kepala dan terus berlari mendapatkan Juita, sebaliknya dia bertembung dengan Juita ditangga dan terlebih dahulu bersuara menenangkan Kasuma.
"Aku telah meneguk segelas susu di depan ibuku. Itu cukup memadai ,bukan?" katanya bersahaja lalu naik ke tingkat atas dan menyambung tidurnya semula.
No comments:
Post a Comment